Tuesday 4 November 2014

Pengalaman bersalin

Teks: Huzaimah Basar

Sudah seminggu saya di beri cuti MC oleh doktor pakar sakit puan. Bukaan ketika itu masih 1cm. Cuti perlu di sambung dan saya perlu mengambil surat cuti (MC) untuk seminggu lagi. 

Ketika itu saya memandu berseorangan ke hospital untuk mengambil surat cuti tersebut. Keadaan saya ketika itu biasa sahaja, melainkan sedang sarat dan kesokkannya adalah EDD saya. 

Pada malam itu kami keluar makan malam di Restoren Pak Li. Ketika itu saya memesan asam laksa. Saya makan seperti biasa. Selepas makan kami pulang ke rumah. 

Saya terasa ngantuk sangat dan tidur agak awal dalam pukul 10 malam. Saya terjaga pukul 3 pagi kerana berasa sakit pinggang yang amat sangat. Kesakitan itu mungkin di sebabkan saya terlupa untuk mengalas bantal di belakang pingang dan ketika itu perut saya juga berasa sakit sedikit.

Saya bangun daripada katil dan melihat suami tidak tidur lagi ketika itu. Saya menyapanya di bilik bacaan dan mengadu kepadanya keadaan saya ketika itu. Suami saya memberi respon, mungkin telah tiba masanya. Saya masih bertanya-tanya pada diri sendiri ketika itu, adakah telah tiba masanya.

Saya telah Watssup rakan sekerja untuk kepastian dengan menyatakan keadaan saya ketika itu. Rakan saya mengatakan itu adalah mild contraction. Kami membuat keputusan untuk ke hospital lebih awal untuk mengelakan kesesakan lalu lintas. Sebelum ke hospital, saya mandi terlebih dahulu. Beg telah pun berada di dalam kereta.

Dalam pukul 4.30 kami bergerak ke hospital. Kali ini suami mengambil keputusan untuk memandu menggunakan Lebuhraya Persekutuan, kebiasaanya menggunakan lebuhraya SKVE. Perjalanan mengambil masa hampir sejam daripada Shah Alam ke Bangi.  Kebiasaan di waktu pagi adalah waktu puncak, jalan pasti sangat sesak. Sepanjang perjalanan ke hospital, saya mengalami sakit perut yang kerap. Alhamdulillah, mujur perjalanan adalah lancar tanpa kesesakan lalu lintas.

Sampai di hospital, suami terus mendaftarkan saya dengan membawa buku merah hospital. Jururawat terus membawa saya ke Labor Room. Bidan datang untuk memeriksa bukaan, ketika itu masih 2cm. Saya sempat solat subuh dan bersarapan. Saya memaksa diri untuk makan, tetapi saya tidak berselera untuk makan. Hati kian berdebar-debar, perut pulak semakin sakit dan kesakitan itu datang sekejap-sekejap.

Sedikit lucu apabila saya sendiri tidak tahu bahawa bilik tersebut adalah Labor Room. Itu pun setelah suami memastikan dengan melihat label diluar bilik tersebut.

Doktor Pakar Wanita saya iaitu Doktor Fatimah Mustafa, datang menjenguk pada pagi itu. Saya mengambil epidural untuk mengurangkan kesakitan dengan nasihat doktor, supaya saya ada tenaga untuk melahirkan.

Ketika proses melahirkan saya kehilangan tenaga. Teknik pernafasan untuk melahirkan yang tidak betul menyebabkan saya tidak bermaya. Saya tidak sempat ke kelas yang di anjurkan oleh Hospital. Alhamdulillah 4 jam selepas mengambil epidural dan berhempas pulas saya telah melahirkan seorang bayi perempuan.

Doktor terus meletakan bayi ke atas perut saya. Perasaan sangat terharu dan berasa sangat lega. Selepas itu tali pusat bayi dipotong, dimandikan dan di Iqamat serta Tahnik oleh ayahnya. Selepas itu bayi di bawakan kepada saya untuk disusukan. Bayi saya ketika itu lebih gemar tidur daripada menyusu.

Pertama kali menyusukan Shaima', sangatlah kekok. Saya rasa menyesal sangat sebab tidak mengikuti kelas yang di anjurkan oleh pihak hospital. Lebih lagi ini adalah anak pertama kami. Sering kali memanggil jururawat bertanyakan kaedah lekapan yang betul. Lama-lama bayi saya pandai melekap.

Setelah bayi telah berak dan kencing, doktor juga berpuas hati dengan tahap kesihatan saya, maka kami di benarkan pulang ke rumah pada hari petang hari ke dua. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Bermula kehidupan kami sebagai ibubapa. Banyak perubahan dan ilmu yang perlu kami terokai.









No comments: