SALAM PERKENALAN

Teks: Huzaimah bt Basar
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam perkenalan dari saya Huzaimah bt Basar @ Sabtu. Dikalangan sahabat mengenali diri ini sebagai Ema. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Selayang Baru Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru (1). Kemudian bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Baru (1) sehingga Tingkatan 3. Saya telah mendapat tawaran ke tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Teknik Setapak Kuala Lumpur di dalam jurusan Pengajian Kejuruteraan Elektrik.

Selepas tamat peperiksaan Sijil Penilaian Menengah, saya ditawarkan menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Dungun Terengganu selama setahun. Kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Microelektronik di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia Perlis. Kini di kenali sebagai Universiti Malaysia Perlis.

Kerjaya pertama saya sebagai Jurutera IC Design Researcher. Rezeki saya sangat murah dan saya ditawarkan bekerja di sebuah syarikat Telekomunikasi terkemuka sebagai Jurutera “Transmission Planning”. Telah berkhidmat selama enam tahun dan saya gembira bekerja di sini kerana persekitaran dan kawan sekerja yang baik.

Saya berjumpa dengan suami ketika sama-sama belajar di universiti. Kami membina mahligai bahagia di penghujung tahun 2009.

Selama hampir tiga tahun menanti kehadiran cahayamata dengan pelbagai dugaan, hujung Febuari 2013 kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Pelbagai usaha yang telah kami lakukan untuk memperolehi cahaya mata. Doktor Pakar Wanita juga telah mengesahkan saya mempunyai Hypothyroid dan memerlukan rawatan. Setiap bulan saya perlu mengambil darah dan berjumpa doctor pakar Consultant Physician & Endocrinologist”. Saya juga perlu bergantung kepada ubat sepanjang hayat. Selain itu Pakar sakit wanita mengesahkan saya mempunyai Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic Ovarian Syndrome- PCOS)  dan perlu membuat pembedahan ovari iaitu “ovary drilling”. Semasa menunggu hari untuk pembedahan tersebut, saya telah di sahkan hamil ketika membuat “Medical Chekup”. Saya sangat gembira dan teruja menjadi seorang ibu.

Setelah memperolehi anak, kehidupan saya sangat berbeza. Pelbagai kesukaran yang ditempuhi di alam rumahtangga dan pengurusan penjagaan serta kesihatan anak. Memandangkan suami saya bekerja “Shift” lebih menyukarkan saya untuk menguruskan anak pada waktu pagi.

Di tambah pula dengan bebanan kerja yang banyak membuatkan saya semakin tertekan. Sering kali pulang lewat kerana mesyuarat yang di adakan di hujung waktu bekerja. Di tambah pula dengan kesesakan lalu lintas yang terpaksa saya harungi pergi dan pulang dari kerja. Terdetik di hati saya untuk menjadi surirumah sepenuh masa, WAHM ataupun SAHM.

Saya gemar membaca informasi mengenai susun atur rumah,supaya kehidupan rumahtangga saya lebih teratur. Saya juga suka membaca informasi mengenai kesihatan iaitu senaman yang sesuai dilakukan oleh ibu-ibu bersama anak-anak. Selain itu saya juga gemar memasak untuk keluarga.

Blog ini di wujudkan untuk berkongsi ilmu mengenai pengurusan rumahtangga, pendidikan anak (Homeschooling) dan resepi serta tips memasak. Harapan saya agar impian untuk menjadi WAHM menjadi kenyataan.

Sekian, wassalam


No comments: